04
Okt

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines perlu mempertimbangkan model perniagaan yang boleh membawa keuntungan daripada membiarkan asetnya statik dan tidak digunakan.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) berkata, jika dilihat trend di luar negara, banyak syarikat penerbangan seperti Air New Zealand, Air Canada dan Cathay Pacific mengubah suai kapal terbang penumpang mereka untuk menjadi pesawat kargo.

“Tindakan seperti ini tidak mustahil kerana di masa pandemik, tidak ramai penumpang akan menggunakan kapal terbang disebabkan penutupan sempadan di kebanyakan negara, sebaliknya ramai akan menggunakan aplikasi dalam talian untuk membeli barang-barang.

“Ini menyebabkan permintaan kargo udara meningkat dan harga melambung. Tempoh perjalanan transit barangan juga singkat berbanding kapal kargo.

“Sebagai contoh, waktu perjalanan antara Sabah ke China hanya lima jam 50 minit berbanding beberapa hari yang diambil sekiranya menaiki kapal, maka perkhidmatan pesawat adalah pilihan pengangkutan kargo utama pada masa kini,” katanya ketika membahaskan usul RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, sejak 2002 hingga kini, sebanyak tujuh pelan transformasi sudah dibuat terhadap Malaysia Airlines, namun sehingga kini, syarikat berkenaan masih lagi memerlukan dana daripada kerajaan untuk menanggung operasinya.

“Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa kerajaan Malaysia sudah memberikan dana sejumlah RM28 billion setakat hujung 2020.

“Walaupun sudah diberi dana yang begitu banyak, Malaysia Airlines masih menghadapi pelbagai masalah. Mungkin kita perlu melihat penyelesaian masalah ini dari sudut yang lain pula,” katanya.

Leave A Comment