04
Okt

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang membuat laporan berkala kepada Parlimen mengenai perbelanjaan RM400 biliion untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memandangkan ia rancangan pelan ekonomi terbesar dalam sejarah negara.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) berkata, rancangan pelan ekonomi negara itu juga tidak sepatutnya hanya ‘cantik di atas kertas’, namun gagal dalam proses pelaksanaannya, berdasarkan rekod dan pencapaian dalam RMK-11 dan Wawasan 2020 sebelum ini.

“Dari 1971 hingga 2015, kadar pertumbuhan adalah 6.2 peratus setahun, ia turun kepada 2.7 peratus setahun bagi tempoh 2016-2020. Pada 2020 pula, pendapatan negara kasar Malaysia pula adalah 20 peratus di bawah tahap negara maju.

“RMK-11 pula nampaknya jauh tersasar daripada sasaran sebenar. Daripada enam pencapaian matlamat disasarkan, hanya satu saja menetapi sasaran. Manakala bagi sasaran ekonomi mikro terpilih, hanya dua daripada lapan sasaran ditepati.

“Ekuiti korporat rakyat tempatan sama ada bukan Bumiputera atau Bumiputera pula menurun kepada 30.7 peratus dan 16.2 peratus.

“Seharusnya setiap sen dan ringgit yang dibelanjakan perlu ada ketelusan dan akauntabiliti. Ia bagi memastikan setiap aktiviti dicadang dan dilaksanakan kelak memberi manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan usul RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Shafie berkata, semua pihak juga perlu mencari jalan penyelesaian segera dan seterusnya menyelesaikan ‘barah’ yang merencatkan proses pembangunan negara seperti rasuah, nepotisme, ketirisan dan salah guna kuasa.

“Selagi anasir buruk ini ada, macam mana mampan pun suatu rancangan, ia pasti sukar untuk dilaksanakan,” katanya.

Presiden WARISAN itu turut berkata, peruntukan RM400 bilion RMK-12 adalah penting untuk kerajaan mengutamakan perbelanjaan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya di sektor berkemahiran tinggi.

“Maka, suatu badan khas perlu ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan RMK-12 dengan objektif utama iaitu mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat,” katanya.

Leave A Comment