KUALA LUMPUR – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendesak kerajaan menangguhkan proses meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Beliau berkata, ia perlu ditangguhkan sehingga semua pihak berkepentingan dirujuk dan bersetuju dengan pendekatan yang dicadangkan.
“Satu kajian yang mendalam juga perlu dibuat untuk mengenal pasti kebaikan dan keburukan perjanjian CPTPP ini dalam konteks perdagangan dan pelaburan Malaysia terkini.
“Saya berpandangan bahawa peruntukan-peruntukan perjanjian perdagangan mega ini perlulah diperhalusi sebaik mungkin dengan menekankan keperluan untuk mendapatkan perjanjian perdagangan yang bukan saja bebas, tetapi perlulah adil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Anjung Melayu di sini pada Selasa.
Hadir sama, Presiden DPMM merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Abdul Halim Husin.
Pada 20 September lalu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan bahawa Malaysia akan meratifikasi CPTPP dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong pada 13 Oktober lalu turut memaklumkan kerajaan telah mempergiatkan usaha bagi melengkapkan pindaan ke atas akta-akta yang berkaitan bagi membolehkan Malaysia meratifikasikan CPTPP.