30
Nov

KOTA KINABALU – Kerjasama antara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang hangat diperkatakan baru-baru ini hanyalah andaian daripada penyokong kedua-dua pihak.

Ketua Wira Warisan, Datuk Azis Jamman berkata, isu itu timbul selepas temu ramah menerusi satu forum melibatkan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai panel.

“Dalam forum itu, moderator bertanya adakah berlaku kemungkinan Warisan dengan UMNO mempunyai bekerjasama. Datuk Bung memberi komen ketika itu mengatakan politik ini hidup, sebarang kebarangkalian boleh berlaku.

“Begitu juga Datuk Darell ada menyebut bahawa dalam politik ini apa-apa kebarangkalian boleh berlaku. Jadi itu memulakan tercetusnya hingga menyebabkan kononnya berlaku perbincangan antara Warisan dengan UMNO.

“Berkisarkan forum itu, satu lagi forum Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama media diadakan dan apabila ditanya berhubung kebarangkalian kerjasama antara Warisan dan UMNO, beliau selaku presiden parti melontarkan cadangannya, bahawa jika diberi pilihan dia berminat untuk bekerjasama dengan PBS kerana sentimen parti tempatan yang memperjuangkan benda yang sama, hak dan kepentingan rakyat Sabah.

“Lontaran daripada kata-kata itu, maka penyokong di kedua-dua pihak membuat andaian dan gambaran bahawa terdapat satu gerakan kerjasama antara PBS dengan Warisan,” katanya menjelaskan situasi tercetusnya khabar angin bahawa kononnya Warisan bergabung dengan parti tempatan untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada forum Bicara Minda: Bolehkah Kerajaan Bertukar Ketika Darurat yang dilakukan secara langsung di akaun Facebook rasminya, pada malam Isnin.

Bagaimanapun, Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut bersetuju dengan pandangan Bung Moktar bahawa banyak kebarangkalian boleh berlaku dalam politik.

Leave A Comment