29
Sep

PETALING JAYA: Warisan mahu kerajaan membatalkan dasar 51% pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat fret tempatan kerana dasar terbabit merupakan satu bentuk diskriminasi ke atas pemain industri tempatan.

Presidennya, Shafie Apdal berkata, bagaimanapun dasar berkenaan yang menetapkan keperluan 51% ekuiti Bumiputera tidak terpakai kepada syarikat antarabangsa atau asing.

“Difahamkan, ini kerana industri ini telah diliberalisasikan di bawah kebanyakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Oleh yang demikian, mana-mana syarat yang berbentuk menindas syarikat asing boleh dikira suatu pelanggaran di bawah FTA.

“Namun demikian, adalah tidak adil bagi kerajaan mengenakan pula penetapan ekuiti ini kepada pemain industri tempatan.

“Warisan berpendirian sekiranya pihak kerajaan memutuskan untuk meliberalisasikan industri ini dan terbuka kepada syarikat antarabangsa tanpa apa-apa syarat lain (sebagaimana prinsip “national treatment” di bawah FTA), seharusnya prinsip yang sama terpakai kepada pemain tempatan juga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil kira kemungkinan peratusan rendah membabitkan pembeli Bumiputera yang layak dan mampu mengambil alih ekuiti syarikat berkenaan.

“Sekiranya tidak dikaji dengan baik, dikhuatiri kebanyakan syarikat dalam industri ini tidak akan bertahan dan terpaksa gulung tikar,” katanya.

Shafie berkata, sekiranya ini berlaku, besar kemungkinan pemain industri tempatan terpaksa menjual syarikat mereka kepada syarikat asing.

“Ini merupakan satu langkah memudaratkan kerana ia akan menambahkan jurang pemilikan ekuiti antara syarikat tempatan dan antrabangsa,” katanya.

Katanya, mengikut data dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan ekuiti warga asing meningkat dari 37.2% pada 2011 kepada 45.3% pada 2015. Pegangan ekuiti bukan Bumiputera menurun dari 34.8% kepada 30.7% dalam tempoh sama, manakala pemilikan ekuiti Bumiputera turut jatuh dari 23.4% kepada 16.2%.

“Warisan berpendirian walaupun tindakan afirmatif adalah perlu untuk mengurangkan jurang sosioekonomi antara kaum di Malaysia, namun ia perlulah dilaksanakan secara adil dan saksama.

“Ia tidak seharusnya dilaksanakan secara menindas dengan memberi kelebihan kepada industri asing, mahupun golongan elit Bumiputera semata-mata,” katanya.

Leave A Comment